Khamis, 9 September 2010

Salam Eidul Fitri 1431H

Salam 'Alaik...

Cepatnya masa berlalu pergi, Ramadhan merangkak pergi. Manakala Syawal pula menjelang tiba. Tidak sabar rasanya hendak tunggu sampai ke pagi esok. Almaklumlah, nak solat sunat Hari Raya kan... Tambah pula mendengar takbir di pagi raya yang mendayu-dayu dengan penuh syahdu itu... hehe. Semoga puasa kita pada tahun ini mencapai ke tahap Puasa 'Khususul Khusus'.

PENGERTIAN HARI RAYA
Hari Raya ialah hari bagi umat Islam menyambut kemenangan setelah sebulan tekun bermujahadah melawan hawa nafsu dengan melakukan ibadah puasa dan diiringi pula dengan pelbagai ibadah sunat. Oleh yang demikian, layaklah bagi mereka untuk merayakan kegembiraan yang dianugerah Allah SWT.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: 
"Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan; gembira ketika masa berbuka dan gembira ketika masa bertemu Tuhannya".

Kemuncak kegembiraan yang bercampur keharuan dapat dirasai ketika tiba di penghujung Ramadhan. Kejayaan dalam menyempurnakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain sepanjang bulan Ramadhan disambut dengan penuh kesyukuran. Keluar dari bulan Ramadhan dan masuk ke bulan Syawal ibarat keluarnya seorang bayi dari perut ibunya dalam keadaan "fitrah" yakni bersih dan suci daripada dosa dan maksiat.

Inilah yang dikatakan hakikat sebenar hari raya iaitu hari mensyukuri nikmat kembalinya kita kepada fitrah asal sebagaimana sewaktu kita dilahirkan dahulu. Oleh itu, hari rayalah hari yang paling bermakna bagi orang-orang yang benar-benar berjaya membersihkan hatinya melalui ibadah puasa dan ibadah-ibadah sampingan yang lain sepanjang bulan Ramadhan.

SEJARAH SAMBUTAN HARI RAYA
Sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda mendapati penduduk Madinah termasuk yang sudah memeluk Islam pada hujung tahun merayakan hari raya Nainuz dan Majrajan.

Lalu baginda bertanya kepada kaum Muslimin yang merayakannya, "Hari apakah ini?".

Jawab mereka, "Hari raya kami. Pada hari itu kami bersuka ria dan bergembira sejak zaman jahiliah lagi".

Baginda lalu bersabda, "Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan