Selasa, 26 Oktober 2010

Salahkah Berambut Panjang? Sunnah atau Sekadar Ikutan?


LELAKI berambut panjang…! Dewasa ini sudah ramai lelaki yang berambut panjang, termasuklah penulis… hehe Malah ada sesetengah pihak mendakwa lelaki berambut panjang menampilkan imej mengagumkan, malah mempunyai nilai dan gaya tersendiri yang mudah menjadi perhatian umum.

Dari sudut adat pula, golongan yang berambut panjang selalunya dipandang sinis, sering dianggap tidak berdisiplin dan banyak kes dikaitkan dengan tabiat kurang baik, walaupun bukan semua mereka begitu. Jangan ingat semua orang yang berambut panjang itu jahat dan tidak berdisiplin. Hal ini berbeza dengan imej berambut pendek, yang kelihatan kemas, bersih dan berdisiplin (atau kadang-kadang dilihat seperti skema ataupun mat bunga), walaupun sesetengahnya tidaklah sedemikian, bahkan mereka yang berambut pendek kadangkala berperangai lebih teruk (betul ke?, tiada unsur bersikap liberal disini).

Tetapi salahkah lelaki Islam merangkap mahasiswa Islam menyimpan rambut dan membiarkannya panjang? Tidakkah Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi ikutan umat Islam juga mempunyai rambut panjang dan bukankah ia suatu sunnah, mengikuti jejak langkah kehidupan baginda?. Bahkan ramai remaja dewasa ini yang berambut panjang, khususnya di kalangan mahasiswa Islam itu sendiri.

Kalau di bangku sekolah dahulu setiap minggu diadakan spot-check rambut, takkan di kerusi (kerusi sebabnya tidak banyak bangku disini) universiti pun perlu seperti di sekolah dahulu (macam janggal je…). Memanglah dari segi adatnya seseorang itu sewajarnya mengikut pertimbangan adat umum satu-satu masyarakat.

Bukan hajat penulis disini ingin ajak kepada berhujah, akan tetapi hati terasa agak bahang dengan teguran oleh seorang staff beberapa hari yang lalu.

“De… Dalam banyak-banyak budak apsal aku jugak yang ko nampak? Takkan sebab gua budak pengajian Islam je… Budak len lagi panjang dari rambut gua, budak perempuan bertudung jarang dan singkat malah konsert di sana-sini tidak pula dipandang berat. Malah dipandang dengan sebelah mata. Inikah yang dikatakan Universiti Islam?... Tepuk Tanya la Perut kalu dah akal tidak boleh berfikir lagi…”. Iqra’…
Pendapat Ulama’

Kebanyakkan Ulama berpendapat, membiarkan rambut panjang bukannya sunnah dan perkara mendatangkan ganjaran kepada seseorang, bahkan ia hanya lebih kepada adat serta tradisi, malah dikatakan ia menjadi adat kebiasaan orang Arab. Seperti mana “Ijmak ahli perundangan bersetuju yang qaz' (mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan yang lain) adalah dilarang kerana Nabi S.A.W. memberikan ingatan terhadap larangannya, dengan bersabda: “Cukur semua atau tinggalkan ia semua”.

Imam Ibn Hajar Al-'Asqalani meriwayatkan di dalam kitabnya, Fathul-Bari, yang mana Abu Daud meriwayatkan Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: “Qaz' ialah tabiat orang Yahudi”.

Disini penulis datangkan beberapa pendapat dari kalangan ulama’, antaranya:

1- Pernah ditanya kepada Imam Ahmad Ibn Hanbal. Memang sunnah menyimpan rambut panjang, bahawa al-Barra' bin azib menceritakan:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يضرب شعره منكبيه .

Dari Anas, “Bahawa rambut Baginda S.A.W. adalah mencecah bahunya”. [Hadith Riwayat: Muslim: 2338].

Malah katanya lagi, barang siapa yang mampu meniru Rasulullah S.A.W. adalah bagus dan suatu ibadah. Tapi kata Imam Ahmad, hanya kami tidak mampu beramal dgn sunnah ini (rambut panjang) kerana kesibukan kami dan kos membiayainya [lihat al-Mughni, 1/119]. Pendapat Imam Ahmad, rambut panjang memang sunnah tapi kalau sibuk, kos rawatan yang mahal dan penjagaannya, maka tidak apa ditinggalkan, sebagaimana kaum Salaf juga tidak mampu beramal dengannya.

2- Diajukan isu rambut ini kepada Syeikh Ibn Uthaimiin, mantan Mufti Arab Saudi. Beliau menjelaskan ia bukan sunnah, cuma adat kebiasaan dan hukumnya mubah, samada ingin memanjangkan (dengan penjagaan) dan memendekkan. Ini terbukti dengan perintah Baginda kepada umatnya samada mencukur semuanya atau membiarkan semuanya. Ini bermaksud, andaikata Baginda mahu umatnya memanjangkan rambut sudah tentu baginda akan memerintahkan dengan jelas, akan tetapi Baginda menyebut sesiapa yang hendak simpan rambut, simpan semuanya dan siapa nak cukur, cukur semuanya (botak). Panjang pendek tidak dinyatakan kepada siapa yang hendak menyimpan rambut. Cuma baginda menekankan penjagaan dan perapiannya [lihat Manzumah Usyul Fiqh/118].

*Maka pendapat pilihan ialah pendapat Syeikh Ibn Uthaimiin. Akan tetapi pendapat kedua-duanya boleh diguna pakai.

Pesanan

Bagi remaja Muslim, sudah semestinya mengikuti gaya yang sesuai dengan agama dan norma masyarakat, sekali gus melupakan angan-angan untuk meniru rupa rambut golongan bukan Islam. Memang benar rambut adalah kebebasan peribadi, tetapi seseorang itu sewajarnya menggunakan kebebasan pada tujuan yang lebih berfaedah untuk diri dan masyarakat, bukannya yang meruntuhkan nilai agama serta masyarakat.

Perlu diingatkan jika anda berhajat ingin memanjangkan rambut itu mestilah mempunyai beberapa hal yang perlu diperhatikan, antaranya:

1. Ikhlas kerana Allah Taala, dan mengikuti petunjuk Rasul, supaya mendapatkan balasan dan pahala.
2. Dalam memanjangkan rambut tersebut, hendaklah tidak menyerupai wanita, sehingga dia melakukan apa yang dilakukan wanita terhadap rambutnya, dari jenis dandanan yang khusus bagi wanita.
3. Tidak bermaksud untuk menyerupai ahli kitab (kristian dan yahudi), atau penyembah berhala, atau orang-orang yang bermaksiat daripada kalangan muslimin seperti seniman-seniman dan artis (panyanyi dan pelakon filem), atau orang-orang yang mengikuti langkah mereka, seperti bintang olahraga, dalam model potongan rambut mereka serta dandanannya.
4. Membersihkan rambut dan menyisirnya sekali dua hari. Dianjurkan memakai minyak dan wangi-wangian serta membelahnya dari pertengahan kepala. Menampakkan rambut kemas dan terurus.

Rujukan:
http://solatjemaahjumaat.blogspot.com/2009/02/adakah-berambut-panjang-sunnah.html
http://mforum.cari.com.my/archiver/?tid-414426.html
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4606.0
http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=3072/postdays=0/postorder=asc/start=15.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan